Advertise

Monday, March 17, 2014

Nico Rosberg menang F1 Grand Prix Australia 2014

0 comments

Melbourne: Nico Rosberg memulakan era baru Formula Satu dengan kemenangan dominan pada Grand Prix Australia semalam ketika juara dunia Sebastian Vettel dan pemenang petak utama Lewis Hamilton terkeluar awal saingan.

Rosberg bersama pasukan Mercedes tampil perkasa dengan teknologi baru hibrid, mendahului dari awal hingga penamat dan melepasi garisan penamat 24.5 saat di depan pemandu Australia, Daniel Ricciardo yang melakukan penampilan sulung bersama Red Bull.

Tangga ketiga juga menyaksikan kejutan apabila Kevin Magnussen, 21, yang melakukan penampilan sulung dalam F1 bersama McLaren, muncul pemandu pertama Denmark menjejak podium.

Pemandu McLaren, Jenson Button dan juara dunia dua kali Fernando Alonso dari Ferrari berakhir di tangga keempat dan kelima, diikuti Valtteri Bottas (Williams), Nico Hulkenberg (Force India) dan Kimi Raikkonen (Ferrari).

Namun ia tidak menggembirakan buat Vettel, juara dunia empat kali berturut-turut dan pemandu Mercedes, Hamilton, juara dunia 2008, yang terkeluar lebih awal kerana masalah mekanikal.

F1 beralih kepada enjin berkuasa turbo V6 1.6 liter tahun ini dengan komponen hibrid selain pengenalan penggunaan minyak kurang 135 liter.

Pada permulaan, Rosberg melonjak ke depan dari petak ketiga dan dia berjaya mengatasi Ricciardo dengan jurang 24.5 saat untuk memberikan Mercedes kemenangan pertama musim ini.

“Saya berlepas dari petak mula bagaikan Silver Arrow dan selepas itu kereta amat pantas hari ini,” kata Rosberg, bapanya Keke memenangi kejuaraan dunia 1982.

“Seluruh pasukan bertindak bagus. Ia enjin yang amat bagus, tidak banyak masalah dengan penggunaan minyak dan ketahanan juga hebat.

“Semuanya hasil kerja keras pasukan untuk mendominasi perlumbaan pertama musim.” Ia kemenangan GP keempat Rosberg dan pertama buatnya sejak Silverstone tahun lalu. - AFP

Leave a Reply

 
Syok Media Online © 2011. Template by DheTemplate.com & Main Blogger.

Syok Media Online was created on 4th March 2014 | Dashboard |