Advertise

Monday, March 17, 2014

Lelaki menyamar pegawai TNB ditangkap ketika menyamun

0 comments

KAMPAR – Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya mematahkan tindakan lelaki yang cuba menyamun seorang penduduk dengan menyamar sebagai kakitangan itu di sekitar Malim Nawar dan Gopeng, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi, kakitangan yang hanya ingin dikenali sebagai Suhari, 31, terserempak dengan ‘rakan sekerja’ itu ketika dia sedang menjalankan tugas membuat bacaan bil-bil elektrik di Kampung Lalang, Kota Bharu, Gopeng.

Katanya, dia pelik apabila ada kakitangan lain yang tidak dikenalinya melakukan tugas di kawasan itu tanpa pengetahuannya menyebabkan dia mengekori lelaki itu dengan menunggang motosikal.

“Lelaki itu sedar saya mengekorinya, dia bertindak memecut motosikalnya dan melarikan diri. Saya kehilangan jejaknya menyebabkan saya meneruskan tugas yang tertangguh.

“Namun, saya terkejut apabila terlihat kembali lelaki itu berbual dengan seorang penduduk dan meminta bil elektrik bulan lalu menyebabkan saya mengesyaki lelaki  itu cuba menyamun penduduk kampung yang sering dilaporkan berlaku di kawasan ini,” katanya.

Suhari berkata, dia berjaya mencekup lelaki itu selepas dia bertindak nekad melanggar motosikal suspek sebelum bergelut untuk menahannya.

“Lelaki terbabit mengaku tidak bekerja dengan TNB, tetapi tidak memberitahu tujuan dia meminta bil elektrik daripada penduduk kampung,” katanya yang menyerahkan lelaki itu kepada polis.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata, suspek berusia 37 tahun itu dikesan memiliki dua jenis pakaian TNB masing-masing sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna biru dan baju T berlengan pendek berwarna merah.

Turut dirampas sebuah beg tangan  dan motosikal jenis Modenas.

“Lelaki beralamat dari Kampung Manjoi dan bekerja sendiri itu kini ditahan reman selama enam hari bermula Sabtu lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya. - Sinar Harian

Leave a Reply

 
Syok Media Online © 2011. Template by DheTemplate.com & Main Blogger.

Syok Media Online was created on 4th March 2014 | Dashboard |